Pengenalan
Air Terjun Jelawang yang terletak di Taman Hutan Negeri Stong, Dabong Kelantan merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara iaitu setinggi 303 meter (1,414 kaki dari aras laut). Terletak di Kg. Jelawang di daerah Dabong.
Dari pekan Dabong perjalanan seterusnya lebih kurang sejauh 8 kilometer melalui jalanraya berturap dengan van atau kereta sapu untuk tiba di Kg. Jelawang. (Pada dahulunya pendaki terpaksa menaiki bot untuk merentas Sg. Galas, tapi sekarang jambatan baru telah siap dibina merentasi Sg. Galas).
Perdana Stong Hill Resort berada di kaki air terjun Jelawang merupakan pintu masuk ke air terjun Jelawang. Banyak kemudahan ditawarkan oleh pihak resort seperti kemudahan chalet, bilik mesyuarat, surau serta tandas. Pendaki boleh melaporkan diri di sini sebelum memulakan pendakian.
Terdapat dua trek ke Baha's Camp yang berada di puncak air terjun Jelawang pada ketinggian 1,414 kaki dari aras laut. Satu trek terus ke trek balak dan satu lagi menyusuri kaki air terjun Jelawang sebelum masuk ke trek balak. Pendaki boleh tiba di Baha's Camp dalam anggaran masa kurang dari 1 jam berjalan kaki.
Selain air terjun Jelawang terdapat juga beberapa tempat menarik boleh dilawati di sekitar Baha's Camp seperti Gua Rantai, Air Terjun Kolam Puteri, Telaga Tujuh dan Air Terjun Dua Gunung.
Memulakan perjalanan dari stesen KL Sentral menuju ke stesen Dabong tepat pada jam 8.30 malam melalui lebih dari 15 stesen keretapi, antaranya Serdang - Kajang - Seremban - Tampin - Gemas - Bahau - Mentakab - Jerantut - Kuala Lipis - Merapoh - Gua Musang. Dan tiba di stesen keretapi Dabong jam 9.30 pagi.
Setibanya di stesen keretapi Dabong aku dan geng 'rekerz' yang lain membersihkan diri, sarapan dan tak lupa juga 'enter frame' di stesen tersebut.
Setelah puas ber 'enter frame', aku dan rakan-rakan memulakan perjalanan ke Perdana Stong Hill Resort, Kg. Jelawang dengan menaiki van sapu. Tambang boleh runding. Setelah selesai segala urusan pendaftaran dan membayar permit masuk ke Taman Negeri, tepat jam 11.00 pagi bermulalah perjalanan kami menuju ke Baha's Camp, Jelawang Jungle melalui trek balak. Perjalanan santai siap photoshoot, aku dan rakan-rakan mengambil masa lebih kurang 4 jam untuk sampai ke Baha's Camp.. Takde apa nak dikejarkan.. hehe..
Antara laluan yang perlu dilalui oleh setiap pendaki untuk ke Baha's Camp
Take 5..!!!
Panorama indah ciptaan Allah S.W.T yang dapat dinikmati semasa dalam perjalanan
Lebih kurang pada jam 3.00 petang akhirnya kami tiba di Baha's Camp. Take 5, lepak-lepak dan kemudiannya setting tempat untuk berkhemah. Yang paling penting dapur mesti mau kemas dan kukuh.. hehe.. Siap semua setting menyeting khemah dan dapur aku dan rakan-rakan membuat persediaan untuk malam.
Suasana malam amat menenangkan jiwa di sini dengan berlatar belakangkan bunyi deruan air terjun dan unggas rimba memang terasa tenangnya jiwa. Jam 1.00 pagi aku dah membungkus di dalam kepompong, sejuk beb.. Tak sabar rasanya untuk bangun pagi keesokkan harinya untuk menyaksikan matahari terbit.
Sunrise di ketinggian 303 meter (1,414 kaki dari paras laut) Baha's Camp, Jelawang Jungle
Keesokkan harinya sarapan pagi kami boleh dikatakan mewah juga, sental sampai licin.. hehe.. menu : (sandwich sardin + tuna, seri kaya + marjerin + gula)
Setelah selesai bersarapan aku dan rakan-rakan kemudiannya memulakan pendakian dan pejelajahan dari satu ke satu air terjun.
Setibanya di check point terakhir di Last Waterfall iaitu di pertemuan air terjun dari Gunung Stong dan Gunung Ayam aku dan rakan-rakan mandi manda sakan. Sambil-sambil tu tengok-tengok juga keadaan langit di puncak gunung. Risau juga kalau-kalau awan tiba-tiba bertukar menjadi gelap, bermakna hujan di puncak gunung.. Kepala air anytime akan turun.. Gerunnn..! Puas mandi manda di kesejukan air terjun memang dah jadi kerja aku masak memasak ni.. Apa yang ada aku masak je lah.. Last, terciptalah menu air teh 'o' masak mengalir.. hehe..
Akhirnya lebih kurang jam 4.00 petang kami memulakan pendakian turun ke Baha's Camp. Memang semua kecut-kecut kulit akibat kesejukan tahap melampau akibat mandi air terjun punya pasal..
Selesai solat Maghrib dan Isyak serta makan malam aku dan rakan-rakan ambil masa yang ada untuk lepak-lepak sambil menyaksikan keindahan malam dari ketinggian di Baha's Camp.
Keesokan harinya selepas selesai sarapan pagi, sesi mandi manda bermula lagi.. kali ni lebih advance dengan aksi sarkas dan macam-macam lagi.. hehe.. Selepas lunch aku mengemas kesemua peralatan yang ada memandangkan cuaca semakin mendung. Projek gua belum selesai lagi. Nak kena turun ke pekan Dabong sebelum jam 4.00 petang. Harap-harap janganlah hujan.
Akhirnya plan berjalan seperti dirancangkan. Aku dan rakan-rakan memulakan pendakian turun ke Perdana Stong Hill Resort pada jam 3.30 petang. Sebelum tu sempat juga untuk 'shoot and snap', bergambar kenangan di Baha's Camp.
Pemandangan indah Kg. Jelawang dan pekan Dabong dari Baha's Camp
Enter frame sebelum memulakan pendakian turun ke Perdana Stong Hill Resort
Tunggu dan lepak lebih kurang 1 jam sementara hujan reda sempat juga merehatkan diri. Hujan slow down sikit jer aku dan rakan-rakan terus naik van sapu menuju ke pekan Dabong. Sampai di pekan Dabong terus ajer lah menyantap sekenyang mungkin, maklumlah kesejukan hujan.. laparrr.. hehe..
Settle makan driver van sapu dah ready dalam van. Penjelajahan gua pun bermula. Antara gua yang diselongkar oleh aku dan rakan-rakan - Gua Ikan, Gua Batu Susun, Gua Keris, Gua Pagar, Gua Gelap.
Stalactites dan stalagmites yang berusia beribu tahun terbentuk akibat kesan hakisan
Menghayati keindahan alam ciptaan Allah S.W.T
Antara tumbuhan organik yang tumbuh di sekitar kawasan gua
Puas menjelajah gua-gua yang ada akhirnya aku sebulat suara memutuskan agar pulang semula ke pekan Dabong. Tiba di pekan Dabong acara seterusnya membersihkan diri, makan-makan budu, solat, enter frame dan lepak-lepak sambil menanti ketibaan keretapi. Lebih kurang jam 8.40 malam tibalah gerabak yang kami nantikan. Dapat seat terus ajer koma (tidur) sedar-sedar dah sampai di stesen Kajang.. Memang penat, tapi berbaloi menjelajah air terjun dan gua di Jelawang.. Insya Allah, akan dirancangkan lagi trip ke sana..